Australia muncul juara Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun (B-21) Piala Sultan
Johor (SOJC) 2025 setelah menewaskan India 2-1 di Johor Bahru pada
malam Sabtu.
Kejayaan skuad bimbingan Jay Stacy membawa pulang gelaran tersebut
sekali gus menebus kekecewaan Australia yang tewas kepada India di
pentas akhir tiga tahun lalu.
Malah lebih manis kejayaan Australia itu diraih selepas empat kali beraksi
di pentas final dengan edisi 2022 tumpas di tangan India 4-5 menerusi
‘shoot out’ setelah mereka terikat 1-1 dalam aksi sebenar.
Edisi 2023-pula mereka kalah kepada Jerman 1-3 menerusi ‘shoot out’
setelah terikat tanpa jaringan dan musim lalu dikecewakan Great Britain 2-
3.
India yang dibimbing PR Sreejesh memulakan aksi dengan agresif apabila
pantas mengasak kubu Australia seawal permulaan wisel.
Namun tuah memihak Australia apabila Ian Grobbellar terlebih dahulu
meledak menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13.
Berselang empat minit, Anmol Ekka melegakan kem India apabila mengikat
kedudukan 1-1 menerusi gol padang.
Kedua-dua pasukan kemudian saling mengasak untuk memburu tambahan
gol, namun gagal menemui sasaran.
Gol yang dicari akhirnya muncul apabila Grobbellar sekali lagi menjadi duri
dalam daging India setelah menyumbat menerusi pukulan sudut penalti
menuju minit akhir untuk memacu Australia sebagai juara edisi ke-13
kejohanan.
Penyampian hadiah kepada pasukan juara disempurnakan oleh Pengerusi
Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.
Dalam pada itu, Grobbellar dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan
akhir, manakala rakannya di gawang, Magnus Maccausland pula dipilih
sebagai penjaga gol terbaik.
Pakistan juga tidak pulang tangan kosong apabila kaptennya, Hannan
Shahid dijulang sebagai pemain terbaik kejohanan dan Sufyan Khan
dinobatkan sebagai penjaring terbanyak setelah meledak Sembilan gol.
Sebagai rekod, sejak SOJC diperkenalkan pada 2011, Australia telah
merangkul dua gelaran berturut-turut iaitu pada musim 2016 dan 2017,
manakala India pula mengunggulinya sebanyak tiga kali pada 2013, 2014
dan 2022.
