Selepas mengharungi empat perlawanan, naib juara edisi lalu, Australia
mengekalkan rekod tanpa kalah untuk mengungguli carta Kejohanan Hoki
Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 dengan 10 mata.
Dengan kemenangan ini, Australia telah mengesahkan tempat ke pentas
akhir.
Skuad The Burras menjadikan India sebagai mangsa ketiga setelah
mengatasi pasukan itu 4-2 dalam aksi keempat di Johor Bahru pada malam
Rabu.
Australia yang dibimbing Jay Stacy menang ke atas New Zealand 4-0 pada
aksi pertama, seri 1-1 dengan pasukan tuan rumah, Malaysia dan
menewaskan Great Britain 2-0 pada Selasa.
Malah lebih manis, kejayaan Australia turut disulami dengan
kecemerlangan Oscar Sproule yang dinobatkan sebagai pemain terbaik
perlawanan setelah meledak dua gol untuk memacu kemenangan
bermakna The Burras.
Pemain yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-19 Jumaat ini
dilihat selesa merendah diri dengan pengiktirafan tersebut.
“Sesuatu yang istimewa, namun berasa tidak layak untuk menerimanya.
Apapun saya tetap gembira,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Hoki Johor, Taman Daya itu, Australia bangkit
daripada ketinggalan selepas India terlebih dahulu di depan menerusi
jaringan kapten mereka, Rohit hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-
22.
Australia bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-39 untuk
mengikat India menerusi gol padang Sproule dan berselang seminit hasil
pukulan sudut penalti, Patrick Andrew meletakkan The Burras di depan 2-
1.

Sproule sekali lagi menjadi duri dalam daging buat India apabila
menyumbat gol ketiga menerusi gol padang pada minit ke-42.
Australia seakan belum mahu menarik ‘hand break’ apabila terus
mengancam kubu India dan usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-51
apabila Dylan Downey melebarkan jurang gol kepada 4-1.

Ketika keputusan dilihat seakan tidak berubah, Arshdeep Singh
menyumbat gol kedua menuju wisel penamat, namun ia gagal membantu
India yang terpaksa akur tewas 2-4 di tangan Australia.
Biarpun tewas, India tetap berpuas hati apabila menghuni tempat kedua
dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri, diikuti Great
Britain di kedudukan ketiga (enam mata).
Pakistan dan Malaysia pula berkongsi empat mata dengan masing-masing
berada di tangga keempat dan lima, manakala New Zealand tercorot
dengan tiga mata.
Kejohanan dijadualkan berehat pada Khamis sebelum menyambung
semula saingan pada Jumaat yang menyaksikan India akan berdepan
Malaysia pada jam 4.05 petang, manakala Australia bakal berentap dengan
Pakistan pada jam 8.35 malam.
Dua pasukan terbaik kejohanan bakal berentap di pentas akhir pada Sabtu
untuk memburu gelaran juara