JUARA bertahan, Great Britain kembali ke landasan kemenangan selepas
mengalahkan Pakistan 5-1 dalam aksi kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan
Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru pada
malam Ahad.
Great Britain yang tewas 2-3 di tangan India dalam aksi pertama pada
Sabtu bermula agresif apabila menyumbat dua gol dalam tempoh dua
minit.
Jaringan pertama hadir menerusi gol padang Henry Markham pada minit
keempat disusuli sentuhan Jonny Hibbitt untuk menggandakan jaringan
buat Great Britain.
Henry sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Pakistan apabila meledak
gol ketiga Great Britain menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-14.
Memasuki saingan suku kedua, Pakistan yang dibimbing Kamran Ashraf
akhirnya menemui gawang Great Britain menerusi pukulan sudut penalti
yang disudahkan dengan sempurna oleh Sufyan Khan pada minit ke-22.
Pakistan yang menang besar 7-2 ke atas Malaysia dalam aksi pertama pada
Sabtu terus mengerah kudrat untuk memburu jaringan tambahan, namun
Great Britain ampuh bertahan.
Malah mereka belum mahu menarik ‘hand brake’ apabila terus mengasah
kubu Pakistan dan usaha tersebut berbaloi buat skuad bimbingan Jon Bleby
apabila dihadiahkan penalti ‘stroke’.
Kaden Draysey nyata tidak mengecewakan apabila tenang menewaskan
Muhammad Janjua di gawang Pakistan pada minit ke-53.

Bagai harimau lapar Hibbitt mengandakan jaringan peribadi menuju lima
minit sebelum wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan Great
Britain 5-1 ke atas Pakistan.
Kesempatan rehat pada Isnin sudah pasti membuka ruang buat Bleby
untuk mencatur semula strategi pasukan, selain peluang buat para pemain
untuk memulihkan kekuatan fizikal serta mental.
Ini kerana perlawanan ketiga pada Selasa ibarat ulangan aksi final edisi lalu
apabila Great Britain akan berentap dengan Australia pada jam 4.05
petang.

Pakistan yang tersentak dengan kekalahan itu pula perlu bangkit dengan
lebih kuat untuk berdepan musuh tradisi, India pada jam 8.25 malam
Selasa.