Great Britain optimis untuk mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya yang dijadual membuka tirai pada Sabtu 11 Oktober.

Namun pengendalinya, Jon Bleby tetap menghormati pasukan lawan yang hadir dengan reputasi dan kekuatan tersendiri untuk memburu gelaran kejohanan tersebut.

“Kami datang dengan yakin. Saya rasa kami mempunyai pasukan yang bagus. Setiap tahun sukar diramal. Kejohanan ini menawarkan cabaran yang baik. Kami menjangkakan semua pasukan akan memberikan saingan yang sengit.

“Sejujurnya, peluang adalah seimbang, namun kami optimis. Kami mahu menang kejohanan ini, jadi kami akan melakukan segala yang mungkin untuk cuba memenanginya lagi.

“Kami membawa pasukan terkuat ke sini. Mungkin ada beberapa perubahan, tetapi ramai daripada pemain ini akan pergi ke Piala Dunia,” katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan menentang skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Johor pada Rabu 8 Oktober.

Bleby yang sudah bersama pasukan itu selama enam tahun bukan nama asing dalam saingan SOJC apabila merangkul kejuaraan sebanyak empat kali iaitu pada edisi 2024, 2019, 2018 dan 2015.

Selain tuan rumah Malaysia dan Great Britain, kejohanan edisi kali ke-13 itu turut disertai Pakistan, India, New Zealand dan Australia.

Bleby turut menyenaraikan pasukan yang mampu menyekat impian kejuaraan dan memberi saingan sengit kepada Great Britain termasuk Malaysia.

“Salah satu sebab kami berbangga memenangi SOCJ sebanyak empat kali kerana ia adalah kejohanan yang sangat sukar.

“Ia bukan kejohanan yang anda boleh datang dan menang dengan mudah. Semua pasukan adalah bagus. Australia sangat kuat, begitu juga India pasukan yang hebat. Malaysia juga memberikan kami perlawanan yang sangat sukar setiap tahun,” katanya.

Jurulatih berusia 46 tahun itu turut mengingatkan para pemain agar terus meningkatkan prestasi mereka menjelang kejohanan hujung minggu ini.

“Saya beritahu pemain bahawa kami perlu mula meningkatkan lagi tahap permainan. Ia akan menjadi perlawanan latihan yang hebat untuk kami bersiap sedia menghadapi kejohanan,” katanya.

Dalam aksi itu, Great Britain menang 2-1 ke atas skuad remaja Johor yang dalam persiapan menuju SUKMA 2026 di Selangor tahun depan.