IMPIAN tiga mata Malaysia tidak kesampaian setelah tumpas 1-4
di tangan juara bertahan, Great Britain dalam Kejohanan Hoki
Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Johor Bahru pada Rabu.
Keputusan tersebut menyaksikan tugas berat Nor Saiful Zaini
Nasiruddin dalam misi wajib menang ke atas India pada Jumaat
untuk merealisasikan sasaran podium edisi kali ini.
Dalam aksi di Stadium Hoki Johor, Taman Daya itu Great Britain
terlebih dahulu di depan menerusi pukulan sudut penalti Kaden
Draysey pada minit ke-10.
Tersentak jaringan itu, skuad Young Tigers mengandakan asakan
dan pemain tengah negara, Adam Asyraf Johari tidak
mengecewakan apabila mengikat kedudukan hasil gol padang
pada minit ke-17.
Berselang dua minit, Great Britain yang dibimbing Jon Bleby
kembali di depan menerusi gol padang Jonny Hibbitt Sturch,
disusuli gol ketiga hasil jaringan Monty Neave pada minit ke-26.
Jonny sekali lagi menjadi duri dalam daging buat skuad muda
negara apabila menggandakan jaringan peribadi menerusi gol
padang pada minit ke-39 untuk melebarkan jurang gol New
Zealand kepada 1-4.
Dalam pada itu, Nor Saiful Zaini mengakui pasukan lawan
bermain lebih baik, kawalan bola yang kemas dan memiliki
kelebihan fizikal, sekali gus menyukarkan anak buahnya untuk
mengatasi mereka.
“Mereka juga bijak memerangkap kami dengan gerakan pantas,
terutamanya sebelum masuk ke kawasan D untuk melakukan
‘marking’. Mereka akan memulakan serangan dan pemain lain
akan datang dari belakang untuk menyokong.
