BUKAN keputusan yang dimahukan oleh Malaysia apabila sasaran podium
lebur setelah tewas 1-2 kepada India dalam aksi terakhir pusingan ’round
robin’ Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Johor Bahru pada
Jumaat.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad bimbingan Nor Saiful Zaini
Nasiruddin itu sekadar mengutip empat mata untuk berada di tangga
kelima dan bakal beraksi bagi penentuan tempat kelima dan keenam
menentang New Zealand pada Sabtu.
India pula cemerlang mara ke pentas final atas tiket tempat kedua di
belakang Australia setelah mengutip 10 mata hasil daripada tiga
kemenangan dan satu seri.
Malah pentas akhir pada Sabtu ini juga bakal menjadi final ulangan buat
kedua-dua pasukan yang menyaksikan juara 2022 menjadi milik India
selepas menewaskan Australia 5-4 menerusi ‘shoot out’ setelah mereka
terikat 1-1 dalam aksi sebenar.
Perlawanan kelima di Stadium Hoki Johor, Taman Daya itu bagaimanapun
bermula jam 4.55 petang selepas tertangguh hampir sejam susulan hujan
lebat di sekitar bandar raya ini.
Pasukan tuan rumah bermula agresif pada suku pertama, namun India
pantas bertindak balas apabila terlebih dahulu di depan menerusi pukulan
sudut penalti Gurjot Singh pada minit ke-22.

Tersentak jaringan itu, skuad Young Tigers menggandakan asakan dan P.
Naaveesh meledak pada minit ke-43 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Asakan bertali arus skuad bimbingan PR Sreenesh yang meraih pukulan
sudut penalti ketujuh nyata membawa tuah apabila Sourabh Anand
Kushwaha kembali meletakkan India di depan 2-1 pada minit ke-48.
Skuad muda negara yang belum mahu mengibar bendera putih terus
mengasak kubu lawan, namun tuah tidak memihak mereka apabila gagal
menemui sasaran dan terpaksa menyerahkan kemenangan 1-2 kepada
India.

Nor Saiful yang ditemui media tetap berpuas hati dengan prestasi yang
diperagakan anak buahnya, namun pengalaman memisahkan Young Tigers
dengan pemain India.
“Beberapa pemain lawan beraksi di Liga Hoki Dunia selain pentas domestik
di India. Kita dapat lihat betapa sukar pemain kita untuk merampas bola
daripada mereka,” katanya.
Mengulas mengenai aksi berdepan New Zealand bagi penentuan tempat
kelima dan keenam, beliau mahu para pemain memberikan yang terbaik
kerana SOJC menjadi sebahagian daripada latihan atau pengalaman untuk
ke Piala Dunia Remaja di India bulan depan.
“Kita akan kekalkan prestasi sedia ada dan berusaha untuk mencapai
kemenangan. Momentum di kejohanan ini kita akan bawa ke hadapan dan
ia positif buat para pemain,” katanya.
Sementara itu, Sreejesh memuji semangat melawan yang diperagakan
Malaysia yang menyukarkan anak buahnya untuk menjaringkan gol.
“Ini satu perkara yang hebat dan saya tetap berpuas hati dengan keputusan
ini. Masih ada ruang untuk diperbaiki. Malah mara ke final sangat penting
buat kami dan ia dapat dicapai dengan baik,” katanya.
Dalam aksi kali ini, Malaysia bermula perlahan apabila tewas 2-7 di tangan
Pakistan sebelum mengikat Australia 1-1 dan menemui rentak
kemenangan setelah menewaskan New Zealand 4-2 sebelum tumpas 1-4
kepada juara bertahan, Great Britain pada Rabu.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan SOJC ialah pada edisi pertama
2011 apabila muncul juara sulong.
Bagi edisi lalu, Young Tigers menutup kejohanan di tangga keenam dan
ketujuh pada 2023.