INDIA meneruskan momentum positif setelah menewaskan New Zealand
4-2 dalam aksi kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di
Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru pada Ahad.
Ia merupakan kemenangan kedua skuad bimbingan PR Sreejesh itu selepas
mengejutkan juara bertahan, Great Britain 3-2 pada aksi pertama semalam.
Keputusan tersebut turut meletakkan India di landasan terbaik untuk
mengintai peluang merangkul kejuaraan kali keempat selepas mengungguli
tiga edisi terdahulu iaitu pada 2022, 2014 dan 2013.
Skuad ‘Men in Blue’ itu membuka tirai jaringan menerusi gol padang
Arshdeep Singh pada minit ke-11. Berselang empat minit, Sunil Bennur
menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan baik untuk
menggandakan jaringan buat India.
Araijeet Singh kemudian menambah derita New Zealand apabila meledak
menerusi gol padang untuk meletakkan India di depan dengan tiga
jaringan.
Tersentak dengan jaringan itu, New Zealand yang dibimbing Mike Delaney
menyusun semula gerak dan ia membuahkan hasil apabila Gus Nelson
merapatkan jurang jaringan 1-3 menerusi gol padang pada minit ke-41.
Bagaimanapun ledakan padu Rosan Kujur menerusi pukulan sudut penalti
terus menghukum benteng skuad ‘All Blacks’ pada minit ke-47 untuk
melebarkan gol India kepada 4-1.
New Zealand cuba bangkit, namun jaringan padang Aiden Bax pada minit
ke-52 belum cukup buat ‘All Blacks’ apabila terpaksa akur tewas 2-4 di
tangan India.
Saingan yang akan berehat pada Isnin membuka peluang buat India untuk
mengukuhkan semula taktikal sebelum turun menentang musuh tradisi,
Pakistan pada jam 8.35 malam Selasa.
Begitu juga buat New Zealand yang perlu mencongak strategi lebih ampuh
selepas tumpas 0-4 di tangan Australia dalam saingan pertama pada Sabtu.
Skuad ‘All Blacks’ bakal membuat perhitungan dengan skuad muda negara
pada jam 6.15 petang Selasa.

Sebagai rekod, dalam kempen SOJC sejak 2011, India mendominasi saingan
ke atas New Zealand menerusi tujuh kemenangan dan dua seri daripada
sembilan perlawanan.