India bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Pakistan 3-3 dalam aksi
derbi Asia yang dramatik dan mendebarkan pada Kejohanan Hoki Piala
Sultan Johor (SOJC) 2025 di Johor Bahru pada malam Selasa.
Saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Johor, Taman Daya itu
menyaksikan kedua-dua pasukan memperagakan intensiti tinggi,
kemahiran individu, helah taktikal dan semangat juang demi maruah
negara.
Pakistan yang memulakan perlawanan ketiga itu dengan agresif terlebih
dahulu di depan apabila dihadiahkan penalti stroke.
Kapten pasukan, Hannan Shahid tenang menyempurnakan pukulan untuk
menewaskan Prince Deep Singh di gawang India pada minit kelima.
Pakistan yang dibimbing Kamran Ashraf kemudian menggandakan jaringan
menerusi Sufyan Khan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada
minit ke-39.
India yang enggan berputus asa menyusun semula gerak dan strategi skuad
bimbingan PR Sreehesh itu membuahkan hasil apabila dihadiahkan penalti
stroke. Araijeet Singh Hundal tidak menghampakan apabila pukulannya
tepat menerjah jaring untuk menewaskan Ali Raza di gawang Pakistan
pada minit ke-43.
Jaringan itu melonjakkan semangat India apabila Sourabh Anand
Kushwaha menyumbat gol kedua pada minit ke-47 untuk mengikat
kedudukan 2-2.
Semangat India terus membara apabila jaringan padang Manmeet Singh
pada minit ke-53 meletakkan India di depan mengatasi Pakistan 3-2
Ketika keputusan seakan tidak berubah, Pakistan yang belum mahu
menyerah kalah bangkit mengikat kedudukan sekali lagi menerusi pukulan
sudut penalti Sufyan pada minit ke-55.
Aksi cemerlang Sufyan membolehkanya dijulang sebagai pemain terbaik
perlawanan yang disifatkan hasil kerjasama sepasukan.
“Bersyukur pasukan tidak kalah, walaupun kami hadir untuk menang.
Kesilapan individu menyebabkan berlaku layangan kad, namun pasukan
berjaya mengawal situasi untuk mendapatkan keputusan seri.
“Seterusnya aksi menentang New Zealand (Rabu). Matlamat kami adalah
untuk memenangi perlawanan dan kekal bersaing dalam kejohanan (buru
dua tempat terbaik). Jadi kami tidak boleh mengulangi kesilapan sama
(elak layangan kad) dan kekal berdisiplin,” katanya.
Kedua-dua pasukan memulakan saingan awal dengan langkah kanan
apabila Pakistan menewaskan Malaysia 7-2, manakala India pula
membenam cabaran juara bertahan Great Britain 3-2.
Perlawanan kedua pula menyaksikan Pakistan tumpas 1-5 di tangan Great
Britain, sementara India pula meneruskan momentum positif apabila
mengalahkan New Zealand 4-2.
Aksi Pakistan menentang New Zealand dijadual berlangsung pada jam 4.05
petang, manakala India akan membuat perhitungan dengan Australia pada
jam 8.35 malam.
