India memulakan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025
dengan langkah kanan apabila mengecewakan juara bertahan,
Great Britain 3-2 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya pada Sabtu
11 Oktober.
Kapten pasukan, Rohit muncul wira apabila menghasilkan dua gol
untuk membantu skuad bimbingan PR Sreejesh itu meraih tiga
mata berharga.
Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan aksi
seimbang dan berhati-hati di bawah cuaca panas yang mencecah
32 darjah celsius di Johor Bahru.
India bagaimanapun berpeluang untuk mendahului, namun dua
pukulan sudut penalti dinafikan keampuahan penjaga gol Great
Britain, Calum Douglas.
Gol yang dicari akhirnya menjelma buat India apabila Ravneet
Singh meletakkan bola dijaring pada minit ke-23.
Kegembiraan India bagaimanapun tidak kekal lama apabila
berselang tiga minit Great Britain menyamakan kedudukan
menerusi jaringan Michael Royden.
India kemudian menggandakan jaringan hasil pukulan sudut
penalti menerusi Rohit menuju ke penghujung suku ketiga.
Berselang seminit kemudian Great Britain kembali mengikat
kedudukan 2-2 hasil ledakan Kaden Draysey.
Rohit sekali lagi mengganas apabila menyumbat gol kedua
peribadi pada minit ke-52 untuk mengesahkan kemenangan
berharga India.
Sreejesh gembira dengan kemenangan itu kerana para pemain
sudah mendapatkan rentak permainan sambil berharap mereka
dapat mengekalkan momentum tersebut untuk aksi seterusnya.

“Satu perlawanan yang bagus, tetapi kami melepaskan banyak
peluang. Itu adalah kebimbangan besar kami. Bagi kejohanan
besar seperti ini sangat penting buat kami untuk memanfaatkan
setiap peluang dengan jaringan.
“Apa pun kami perlu terus memandang ke hadapan untuk
kejohanan ini,” katanya.
Beliau turut memuji aksi terbaik yang diperagakan ayam
tambatan mereka, Rohit yang turut dinobatkan sebagai pemain
terbaik perlawanan.
“Apabila mendapat peluang, dia akan cuba menjaringkan gol.
Apabila tiba masa yang tepat dia juga mara ke hadapan dan
menjaringkan gol untuk pasukan,” ujar Sreejesh.
Dalam pada itu, jurulatih Great Britain, Jon Bleby meluahkan
perasaaan bercampur baur dengan kekalahan tersebut.
“Ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Ada bahagian yang
saya gembira, begitu juga sebaliknya ada bahagian masih lemah.
“Ada beberapa pemain bermain dengan luar biasa, namun kami
perlu lebih baik pada perlawanan akan datang.
“Malah ini juga adalah satu perlawanan yang sangat bagus untuk
kedua-dua pasukan. Kami mendapat banyak peluang termasuk
pukulan sudut penalti, namun ia tersasar beberapa kali,” katanya.
Dalam aksi kedua pada Ahad 12 Oktober, India akan berdepan
New Zealand pada jam 4.05 petang, manakala Great Britain akan
bertemu Pakistan pada jam 8.35 malam.
Satu lagi aksi bakal menemukan naib juara edisi lalu, Australia
menentang pasukan tuan rumah, Malaysia pada jam 6.15 petang.