SKUAD remaja negara akan meningkatkan intensiti permainan bagi
memburu kemenangan pertama apabila berdepan New Zealand bagi aksi
ketiga Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki
Johor, Taman Daya pada hari ini (Selasa, Oct 13).
Bagi merealisasi impian tiga mata itu, ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini
Nasiruddin akan mencongak strategi lebih ampuh untuk mengejutkan
skuad kendalian Mike Delaney itu.
Selepas tewas 2-7 kepada Pakistan dalam aksi pembukaan dan bangkit
bertenaga ketika mengikat Australia pada Ahad, skuad ‘Young Tigers’
berada pada tahap terbaik untuk mengejutkan skuad kendalian Mike
Delaney itu.
“Kami akan berdepan New Zealand dan matlamat utama sudah tentu
memburu kemenangan. Walaupun dijangka berdepan tentangan sengit,
saya optimis pemain mampu menyaingi mereka.
“Keputusan seri dengan Australia menyuntik semangat pemain. Mereka
bermain secara terbuka tetapi lebih tersusun dan tidak terlalu terdedah,
malah berjaya menutup ruang gerakan pemain Australia,” katanya.
Bagi menentang New Zealand, pasukannya akan memperkemaskan corak
taktikal terutama pada suku keempat ketika pemain sering turun terlalu ke
bawah.
“Pemain perlu elak daripada memberi ruang kepada lawan untuk merapati
kawasan D,” katanya.
Nor Saiful turut menjangkakan anak buahnya akan berdepan cabaran getir
kerana New Zealand bukan pasukan mudah ditewaskan walaupun kalah
dua perlawanan awal menentang Australia (0-4) dan India (2-4).
“Pendekatan taktikal mereka hampir sama dengan Australia, banyak
menyerang dari bahagian sayap. Apa yang penting, pemain mesti kurang
menghadiahkan pukulan sudut penalti.
“Saya yakin motivasi pemain kini berada pada tahap 100 peratus dan kami
akan pastikan mereka benar-benar bersedia daripada aspek mental dan
fizikal,” ujar Nor Saiful.