Skuad muda negara bertekad untuk bermula dengan langkah kanan apabila turun menentang Pakistan dalam aksi pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya pada Sabtu 11 Oktober.
Penolong jurulatih skuad Young Tigers. M. Kaliswaran berkata, barisan pemain sudah bersedia sepenuhnya daripada segi mental dan fizikal bagi mengharungi perlawanan yang dijangka sengit itu.
“Kami tahu Pakistan sebuah pasukan yang sangat kuat dengan ramai pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa.
“Namun kami telah bersedia dengan baik dan mahu bermain untuk menang. Itu motivasi kami,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Iskandar Puteri pada Jumaat 10 Oktober.
Perlawanan kedua skuad muda negara akan berdepan cabaran naib juara edisi lalu, Australia pada Ahad, 12 Oktober, disusuli saingan menentang New Zealand pada Selasa, 14 Oktober.
Ujian besar buat Malaysia ialah apabila bakal berdepan juara bertahan, Great Britain pada Rabu, 15 Oktober sebelum menutup tirai saingan menentang India pada Jumaat, 17 Oktober.
Dua pasukan terbaik akan bersaing di pentas final untuk merebut kejuaraan edisi ke-13 kejohanan pada jam 8.25 malam Sabtu, 18 Oktober.
Bagi merealisasikan impian tiga mata dicapai Kaliswaran mahu para pemain tampil agresif dan mengelak daripada berasa gugup.
Tegasnya, mereka tidak boleh berasa kerdil untuk berdepan jaguh hoki dunia seperti Pakistan, sebaliknya perlu tampil dengan pendekatan taktikal yang sudah diterap ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.
“Mereka sudah tidak sabar untuk beraksi dan memberikan yang terbaik. Ia memberi ruang kepada mereka bagi merebut tempat dalam pasukan untuk beraksi di pentas Piala Dunia Remaja di India, Disember ini.
“Barisan kejurulatihan sudah menerapkan teknikal permainan dan terserah kepada pemain untuk menyiapkan diri bagi menghadapi setiap perlawanan. Jika cakap pasal Britain, Australia dan India, mereka ada pendekatan taktikal berbeza dan kekuatan tersendiri,” katanya.
Kaliswaran memberitahu, empat siri jelajah ke luar negara termasuk ke Australia, India dan China telah memberi pendedahan berharga kepada para pemain untuk diterjemahkan sebaik mungkin pada kejohanan kali ini.
“Kami telah memanfaatkan semua siri jelajah itu dan pemain mendapat pengalaman bermain menentang pasukan-pasukan besar,” katanya.
Beliau menjelaskan para pemain juga sudah dipersiapkan dengan pelbagai corak permainan dan serangan termasuk memberi fokus kepada pukulan sudut penalti, namun apa yang merisaukan ialah di posisi pertahanan yang agak mencabar.
“Kami ada menyenaraikan dua penjaga gol baharu dalam skuad iaitu Haziq Muizuddin (Hairul Mizan) dan Muaz (Bashir Shabri) yang pertama kali akan beraksi di perlawanan kompetitif antarabangsa.
“Diharapkan rakan sepasukan dapat membantu beri keyakinan kepada kedua-dua penjaga gol ini,” kata Kaliswaran.
Dalam pada itu, pengurus Pakistan, Azfar Yaqoob menegaskan barisan pemainnya tampak bersedia bagi mengharungi kesemua perlawanan, namun tetap menghormati barisan pemain Malaysia.
“Kombinasi pemain yang hadir pada kali ini termasuk empat pemain yang beraksi untuk skuad senior. Malah sebelum ke Johor, kami mengadakan beberapa siri persahabatan menentang Jerman dan Oman.
“Harapan kami apabila menentang Malaysia, ia akan berlangsung dengan corak permainan yang menarik dan pasukan mana yang beraksi dengan baik akan layak untuk menang.
“Kami juga berharap gabungan tonggak berpengalaman dan pemain baharu akan membentuk kombinasi terbaik,” katanya.
