Mike Delaney meluahkan rasa gembira dengan prestasi anak buahnya
ketika memacu New Zealand meraih kemenangan pertama menewaskan
Pakistan 3-2 dalam saingan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Johor
Bahru pada Rabu.
Bagaimanapun jurulatih itu belum mahu berpuas hati dengan prestasi para
pemain kerana masih banyak kerja rumah buat mereka terutama di barisan
depan yang perlu lebih tajam untuk merobek gawang lawan.
Beliau berkata, pasukan gagal memulakan saingan dengan baik apabila
tewas tiga perlawanan, namun dalam aksi keempat para pemain hadir
dengan mentaliti baharu dan ia berjaya dicapai dengan kemenangan.
“Apapun kami perlu menilai diri sendiri (prestasi) dengan lebih teliti untuk
menjadi lebih bagus. Ini adalah satu proses dan kami perlu melaluinya
dengan baik.
“Kami perlu memperhalusi beberapa perkara, pasukan belum mencapai
tahap optimum dan ia akan berlaku. Kami perlu percaya kepada proses
untuk menjadi lebih kuat. Berasa gembira dengan kemenangan ini dan ia
benar-benar meningkatkan moral pemain,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Hoki Johor, Taman Daya itu gol kemenangan New
Zealand dihasilkan menerusi Rocco Ludolph, Jakarta Klebert dan Jordan
Whittleston, manakala pemain sensasi, Sufyan Khan menyumbat dua gol
buat Pakistan.
“Satu prestasi yang hebat. Para pemain beraksi dengan baik bekerja
sebagai satu pasukan,” ujar Delaney.
Menurutnya, perjuangan mereka belum selesai apabila akan berdepan
juara bertahan, Great Britain pada Jumaat yang disifatkan sebagai satu
perlawanan yang sukar.
“Kami akan menentang Great Britain. Mereka pasti akan menyerang
dengan hebat dan kami sudah bersedia,” ujar Delaney.
New Zealand ketika ini berada di tangga tercorot dengan empat mata
setelah tewas tiga perlawanan iaitu tumpas 0-4 kepada Australia, kalah 2-4
di tangan India dan dikecewakan Malaysia 2-4.
Pakistan pula ditangga keempat dengan empat mata setelah menang 7-2 ke
atas Malaysia, terikat 3-3 dengan musih tradisi, India selain kalah 1-5 di
tangan Great Britain.