SETELAH bergelut dalam tiga perlawanan awal, New Zealand akhirnya
menemui formula kemenangan setelah menewaskan Pakistan 3-2 dalam
saingan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Johor Bahru pada Rabu.
Dalam aksi di Stadium Hoki Johor, Taman Daya itu, New Zealand yang
dibimbing Mike Delaney menebus tiga kekalahan lalu apabila turun dengan
semangat juang tinggi untuk meraih kemenangan pertama.
Suku pertama menyaksikan penguasaan Pakistan yang mahu bangkit
daripada keputusan terikat 3-3 menentang musuh tradisi, India pada
Selasa.
Dominasi Pakistan bagaimanapun berjaya dikekang New Zealand yang
menukar plot permainan apabila terlebih dahulu membuka tirai jaringan
pada minit ke-19 menerusi gol padang Rocco Ludolph.
Namun Pakistan yang dibimbing Kamran Ashraf tidak menunggu lama
untuk mengikat kedudukan apabila ayam tambatan, Sufyan Khan
menyempurnakan dengan baik pukulan sudut penalti pada minit ke-26.
Pemain berusia 21 tahun itu kemudian menggandakan jaringan buat skuad
The Boys in Green dan sekali lagi tangan ’emasnya’ memastikan bola
menerjah gawang pada minit ke-35.
Berselang dua minit, New Zealand yang enggan berputih mata lagi
kemudian mengikat kedudukan 2-2 menerusi pukulan sudut penalti
Jakarta Klebert.
Impian tiga mata Black Sticks akhirnya berjaya digapai menerusi jaringan
padang Jordan Whittleston pada minit ke-53 menewaskan Muhammad
Janjua di gawang Pakistan.
Sementara itu, penjaga gol, Matthew Ruetsch yang dinobatkan sebagai
pemain terbaik perlawanan gembira dengan pengiktirafan itu sambil
memberi kredit kepada rakan sepasukan yang banyak membantunya
mengawal gawang daripada dibolosi dengan lebih banyak gol.
“Ia satu aksi yang hebat. Ini (pemain terbaik) bukan untuk saya semata-
mata, tetapi buat pasukan yang beraksi dengan baik,” katanya.
Dalam saingan SOJC edisi terdahulu menyaksikan Pakistan memenangi tiga
aksi, manakala New Zealand mengunggulinya sebanyak dua kali serta satu
seri daripada enam perlawanan.

Pakistan memulakan kejohanan edisi ke-13 ini dengan langkah kanan
apabila mengalahkan Malaysia 7-2 dan tumpas 1-5 di tangan Great Britain.
New Zealand pula kalah dalam kesemua tiga perlawanan iaitu tewas 0-4
kepada Australia, kalah 2-4 di tangan India dan dikecewakan Malaysia 2-4
pada Selasa.
Kejohanan akan berehat esok sebelum menyambung semula saingan pada
Jumaat yang menyaksikan New Zealand akan berdepan juara bertahan,
Great Britain pada jam 6.15 petang, manakala Pakistan bakal berentap
dengan Australia pada jam 8.35 malam.