Skuad muda Pakistan akan tampil dengan gaya permainan berbeza apabila
turun menentang musuh tradisi, India dalam aksi ketiga Kejohanan Hoki
Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor
Bahru pada Selasa.
Kekalahan 1-5 di tangan Great Britain dalam aksi kedua pada Ahad menjadi
pengajaran berguna buat skuad bimbingan Kamran Ashraf yang tekad
bangkit pada perlawanan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa skuadnya akan tampil dengan pendekatan
lebih berstruktur dan berhati-hati dalam setiap fasa permainan.
“Apabila kami bertemu India, suasananya sentiasa berbeza. Ia perlawanan
yang penuh emosi dan persaingan. Namun kali ini kami akan datang
dengan gaya permainan lebih berdisiplin dan berstruktur. Kami mahu
buktikan Pakistan juga mampu bermain hoki moden yang tersusun,”
ujarnya.
Pakistan dalam aksi pembuka tirai pada Sabtu membenam cabaran
pasukan tuan rumah, Malaysia 7-2.
Kamran turut mengingatkan anak buahnya supaya mengekalkan
penguasaan bola dan mengawal tempo permainan, sambil mengelak
terperangkap dalam corak agresif yang sering menjadi perangkap ketika
menentang India.
“India dan Pakistan bermain dengan cara sangat agresif, tetapi kini
pendekatannya berubah. Kedua-dua pasukan menekankan hoki
berstruktur dan kawalan bola. Kami akan pastikan struktur permainan
kami kukuh dari awal hingga akhir,” katanya.
Malah beliau turut mengakui bahawa kekurangan aksi kompetitif
menentang pasukan Eropah memberi kekurangan berbanding India yang
kerap bermain di benua itu, namun ia bukan alasan untuk memberikan
yang terbaik.
“India ada kelebihan kerana mereka banyak bermain di Eropah, sementara
kami tidak beraksi di sana sejak enam atau tujuh bulan lalu. Tapi kami tidak
jadikan itu alasan. Kami akan turun dengan struktur terbaik dan disiplin
tertinggi,” katanya.
Pakistan sebelum ini menunjukkan peningkatan positif ketika siri
perlawanan persahabatan menentang Jerman dan Oman, namun Kamran
melihat jarak masa antara kejohanan terlalu panjang, menyukarkan
pasukan mengekalkan momentum.
“Kali terakhir kami beraksi ialah pada Februari dan sekarang Oktober.
Tempoh itu terlalu lama. Namun kami akan terus berlatih dan bersedia
untuk menghadapi cabaran sebenar, termasuk Piala Dunia Remaja yang
bakal berlangsung di India,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama pasukan kini adalah untuk
mengekalkan disiplin dan kestabilan emosi, terutama apabila berdepan
tekanan besar serta sorakan penyokong dalam perlawanan berprofil tinggi.
“Kami tahu suasana menentang India tidak pernah mudah. Emosi sangat
tinggi, dan pemain perlu kekal tenang. Saya selalu pesan — fokus pada
struktur, bukan emosi. Hoki moden menuntut disiplin mental selain
kemahiran teknikal,” tegasnya.