PERTEMBUNGAN klasik antara Pakistan dan India dalam Kejohanan Hoki
Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Johor Bahru pada Selasa bukan sekadar
perebutan mata, tetapi simbol semangat kesukanan dan perdamaian antara
dua negara yang terpisah lebih tujuh dekad lalu.
Kapten Pakistan, Abdul Hannan Shahid memberitahu, perlawanan itu
membawa mesej keamanan sejagat, apabila kedua-dua pasukan bermain
dengan penuh semangat dan saling menghormati biarpun sejarah politik
mereka sarat dengan ketegangan.
“Saya percaya perlawanan ini memberi mesej bahawa semangat kesukanan
masih hidup antara Pakistan dan India. Kami ‘high five’ bermain dengan
penuh semangat dan menunjukkan bahawa kami datang untuk bermain,
bukan berpolitik,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Hoki Johor, Taman Daya itu, Pakistan tampil
bertenaga apabila mendahului lebih awal, namun India bangkit untuk
mengikat kedudukan 3–3 dalam perlawanan penuh emosi dan intensiti
tinggi.
“Kami bermula dengan baik, tapi satu kesilapan pertahanan menyebabkan
kami hilang rentak. Pun begitu, saya bangga dengan rakan sepasukan yang
berjuang habis-habisan. Mereka bermain seperti harimau dan tidak pernah
mengalah,” ujar Hannan.
Beliau turut menekankan bahawa pengajaran utama yang diperoleh ialah
kepentingan disiplin dan ketenangan, terutama dalam menghadapi tekanan
pasukan lawan yang lebih berpengalaman.
“Kami perlu lebih berdisiplin dalam pertahanan dan elak menerima kad
yang boleh mengubah permainan. Walaupun tidak menang, kami gembira
kerana berjaya meraih satu mata dan tunjukkan semangat juang tinggi,”
katanya.
Mengulas kekuatan India, Hannan mengakui pasukan lawan mempunyai
kelebihan dari segi ranking dan pendedahan antarabangsa, namun tetap
bangga dengan semangat luar biasa pasukan muda Pakistan.
“India sering beraksi di Eropah dan Australia, tapi kami hanya ada tiga
pemain berpengalaman antarabangsa. Namun semangat rakan sepasukan
luar biasa — mereka bermain demi maruah negara,” jelasnya.
Bagi Hannan, keputusan seri itu bukan sekadar hasil di atas padang, tetapi
kemenangan moral yang membuktikan bahawa hoki mampu menjadi

bahasa keamanan antara dua negara berjiran yang mempunyai sejarah
panjang.