India hadir dengan semangat luar biasa hasil gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda untuk mencabar kejuaraan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Taman Daya bermula Sabtu, 11 Oktober.
Skuad ‘Blue Shirts’ mahu menebus kekecewaan edisi lalu apabila terlepas pentas final dan terpaksa berpuas hati di tempat ketiga untuk membawa pulang pingat gangsa.
Malah skuad bimbingan PR Sreejesh serius mempersiapkan pasukan apabila menjalani siri aksi persahabatan di Eropah.
“Kami menamatkan saingan di tempat ketiga tahun lalu dan agak kecewa kerana gagal layak ke final. Tahun ini, pasukan telah mengadakan jelajah Eropah yang baik sebagai persiapan ke Piala Dunia,” katanya.
Juara tiga kali itu akan memulakan kempen di Stadium Hoki Johor menentang Great Britain pada 11 Oktober, diikuti perlawanan menentang New Zealand keesokkannya.
Mereka kemudian bakal berdepan musuh tradisi Pakistan pada 14 Oktober, Australia (15 Oktober), sebelum menutup saingan pusingan awal menentang tuan rumah, Malaysia pada 17 Oktober.
Dua pasukan terbaik bakal mara ke perlawanan akhir pada jam 8.35 malam Sabtu 18 Oktober.
Sreejesh yang juga bekas penjaga gol dan kapten skuad senior hoki lelaki India mengakui prestasi dalam saingan SOJC kali ini akan memberi gambaran sebenar tahap kekuatan pasukannya menjelang Piala Dunia Remaja akhir tahun ini.
Beliau juga mengakui tidak melakukan banyak perubahan dalam pasukan apabila menyandarkan harapan kepada pemain senior, selain mengekalkan pemain yang pernah beraksi di SOJC musim lalu sambil memanggil beberapa muka baharu.
“SOJC 2025 ini dilihat sebagai pentas pemanas badan menuju ke Piala Dunia. Pasukan yang bertanding mendapat peluang aksi berkualiti, mencuba perkara baharu serta memberi ruang kepada pemain muda. Program bawah 21 tahun ini dianggap sebagai pelaburan masa depan,” katanya.
India bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja Hoki Lelaki FIH 2025 di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan di Chennai dan Madurai, Tamil Nadu dari 28 November hingga 10 Disember 2025.
Beliau turut memuji usaha Hockey India bagi melahirkan bakat muda untuk pembangunan jangka panjang pasukan kebangsaan.
“Hockey India memberi peluang kami membawa 24 pemain ke Eropah, mencuba kombinasi berbeza serta bermain di pelbagai venue. Ia adalah sebahagian persiapan penting ke Piala Dunia.
“Kami menggunakan setiap peluang untuk menimba pengalaman perlawanan, mencuba strategi baharu, dan menggilap bakat muda. Fokus utama ialah pembangunan jangka panjang, dan program bawah 21 tahun adalah pelaburan penting masa depan,” katanya.
