Great Britain optimis untuk mempertahkan kejuaraan apabila turun dalam aksi pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 menentang India di Stadium Hoki Johor, Taman Daya pada Sabtu 11 Oktober.
Keyakinan tersebut disuarakan pengurus pasukan, Dieter Hill yang mengakui mereka memiliki barisan pemain berpengalaman dan sudah biasa dengan saingan kompetitif di pentas antarabangsa.
“Kami sangat bertuah dapat kembali ke sini. Kami hadir untuk memberi saingan sengit dan akan memberikan yang terbaik. Kami juga berharap dapat mempertahankan gelaran,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Iskandar Puteri pada Jumaat 10 Oktober.
Great Britain muncul juara edisi lalu setelah membenam cabaran Australia 3-2 dalam perlawanan akhir.
Hill bagaimanapun enggan memandang mudah cabaran India yang disifatkan bakal berlangsung sengit menerusi kualiti permainan dan kemahiran setiap pemain.
“Kami perlu berada dalam keadaan terbaik, mempunyai mentaliti yang betul, bertahan dengan baik, selain mematahkan serangan lawan dengan berkesa. Kami sangat teruja untuk perlawanan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus India, Janardhan Chowdlu Babu mendedahkan para pemain sudah bersedia sepenuhnya dan teruja untuk menentang juara bertahan.
Malah katanya, kejohanan tersebut menjadi pentas terbaik buat mereka sebagai persiapan menuju Piala Dunia Remaja di laman sendiri akhir tahun ini.
Saya rasa mereka sudah bersedia sepenuhnya dan datang untuk memenangi trofi lagi. Jadi kami juga sedang mempersiapkan pasukan untuk ke Piala Dunia Remaja.
“Jadi kami akan memberikan yang terbaik. Menang atau kalah adalah sebahagian daripada permainan. Ia bukan tentang mereka adalah pasukan terbaik, tetapi pasukan mana yang bermain terbaik akan memenangi perlawanan. Itu adalah kebimbangan saya,” katanya.
Pasukan tuan rumah, Malaysia akan turut beraksi menentang Pakistan pada jam 6.15 petang, manakala Australia akan berdepan New Zealand pada jam 8.35 malam.
