Jurulatih Australia, Jay Stacy mahu pemainnya segera memperbaiki
prestasi menjelang aksi ketiga Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC)
2025 menentang Great Britain pada hari selasa (13 Oktober) selepas
sekadar terikat 1-1 menentang Malaysia di Johor Bahru pada Ahad.
Beliau mengakui kecewa dengan mutu permainan dipamerkan anak
buahnya yang dianggap tidak berada pada tahap sebenar, terutama dari
segi kemahiran asas dan kawalan permainan.
“Bukan sahaja keputusan yang mengecewakan, tetapi juga cara kami
bermain. Tahap kemahiran kami berada di bawah standard biasa. Malaysia
bermain dengan sangat baik — mereka pantas, berkemahiran tinggi dan
berani mencipta peluang,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Hoki Johor, Taman Daya itu menyaksikan skuad
muda negara di depan pada minit ke-12 hasil jaringan Azimuddin Shakir
Kamaruddin, sebelum Ian Grobbelaar menyamakan kedudukan pada minit
k-47.
Stacy berkata, para pemain gagal bermula dengan tempo tinggi dan
membenarkan Malaysia menguasai perlawanan pada separuh masa
pertama sambil mengakui keputusan seri itu adil berdasarkan corak
permainan seimbang antara kedua-dua pasukan.
“Kami bermula agak perlahan dan tidak cukup tajam di kawasan serangan.
Malaysia pula bermain dengan semangat tinggi dan layak diberi pujian.
Mereka benar-benar bekerja keras di atas padang,” katanya.
Mengulas persiapan berdepan Great Britain, jurulatih itu menjelaskan
bahawa Australia akan melakukan beberapa perubahan taktikal
berdasarkan analisis video lawan.
“Kami sentiasa menyesuaikan gaya dan pelan permainan mengikut
pasukan lawan kerana setiap pasukan ada kekuatan tersendiri. Kami akan
meneliti semula rakaman video dan membentuk struktur permainan
terbaik untuk menentang juara bertahan, Great Britain,” katanya.
Stacy juga menjangkakan perlawanan menentang Great Britain bakal
menjadi satu ujian getir, memandangkan kejohanan kali ini disertai
pasukan yang setaraf dan sukar dijangka.

“Ia kejohanan yang sangat kompetitif. Semua pasukan — India, Pakistan,
Malaysia dan Great Britain — berada pada tahap yang hampir sama. Jadi,
setiap perlawanan akan menjadi pertarungan sengit,” ujarnya.
Malah beliau turut menegaskan bahawa peningkatan prestasi individu
perlu menjadi keutamaan, kerana prestasi pasukan hanya akan meningkat
apabila setiap pemain mencapai standard terbaik mereka.
“Kami perlu menilai prestasi setiap pemain secara individu dan sebagai
satu pasukan. Kami akan buat semakan video seperti biasa, kenal pasti
ruang untuk diperbaiki dan laksanakan perubahan itu dalam latihan. Dari
situ, kami akan berkembang sebagai pasukan yang lebih kuat,” katanya.
Justeru Stacy mahu anak buahnya belajar bermain di bawah tekanan dan
mengekalkan disiplin dalam setiap situasi perlawanan.
“Tekanan dalam kejohanan seperti ini penting untuk proses kematangan
pemain muda. Mereka perlu belajar bagaimana mengawal emosi dan kekal
fokus walaupun keputusan tidak memihak kepada kami,” katanya.
Walaupun kecewa dengan keputusan seri, jurulatih itu yakin pasukannya
akan bangkit dengan prestasi lebih mantap dalam aksi seterusnya
menentang Great Britain.
“Kami sedar perlu segera memperbaiki kelemahan. Jika kami beraksi pada
tahap sebenar, mata akan datang dengan sendirinya. Fokus utama sekarang
adalah bermain dengan kualiti dan disiplin lebih tinggi,” tegasnya.
Australia dijangka melakukan beberapa rombakan kecil dalam barisan
utama menjelang pertemuan menentang Great Britain, yang turut
memburu kemenangan selepas tewas tipis 1-2 kepada India.
Dengan semangat baharu dan keazaman tinggi, skuad muda Australia kini
bertekad memperbaiki imej mereka dan memastikan kemenangan menjadi
milik mereka pada Selasa nanti.