AKHIRNYA Australia menunjukkan belang mereka pada kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) apabila menumbangkan India 4-0 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu, Rabu.

Kekalahan India dan kemenangan Australia telah menukar dinamik serta percaturan kejohanan kali ini. Kini pasukan the Burras menyertai New Zealand untuk mempunyai peluang ke final.

Daykin Stagner merupakan wira Australia apabila membuat hatrik menerusi jaringannya pada minit ke-33, ke-39 dan ke-53 manakala satu lagi gol Australia daripada Patrick Andrew pada minit ke-29.

Khamis ialah hari rehat dan semua pasukan akan bermain pada Jumaat untuk menamatkan perlawanan terakhir yang diadakan secara pusingan. India akan berdepan New Zealand, Great Britain bertemu Jepun manakala Australia menentang Malaysia.

Skuad Remaja Kebangsaan dijangka menghadapi tentangan kuat  daripada Australia. Apa yang perlu dilakukan oleh Young Tigers ialah hadapi cabaran itu dengan semangat juang.

Perlawanan Australia dan India merupakan yang paling menarik setakat ini. Kedua-dua pasukan, yang pernah menjuarai SOJC, mempamerkan aksi terbaik mereka. 

Pada separuh masa pertama, India mendapat empat pukulan sudut penalti manakala Australia tiga tetapi satu pun tidak mendatangkan hasil kecuali jaringan yang dibuat oleh Andrew.

Selepas tewas 1-3 kepada Great Britain, seri 2-2 dengan New Zealand dan menumpaskan Jepun 5-1, Australia bermain pantas pada separuh masa kedua sehingga mendapat empat gol.

Pemain India dan Australia beraksi dalam Kejohanan SOJC. Australia menang 4-0

 Pemain Australia Daykin Stagner menerima anugerah Man of the Match