SKUAD muda negara memperaga aksi bertenaga untuk mengikat Australia 1-1
dalam perlawanan kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di
Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru pada Ahad.
Kejayaan mencuri satu mata dari naib juara edisi lalu itu kembali
menghidupkan peluang skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin untuk
memberi cabaran pada kejohanan kali ini.
Skuad ‘Young Tigers’ yang tumpas 2-7 di tangan Pakistan pada Sabtu turun
dengan penuh semangat apabila bermula dengan baik untuk mengatur gerak
ke kubu Australia.
Serangan bertali arus itu mengugat benteng skuad ‘Koorkaburras’ yang
menghadiahkan pukulan sudut penalti buat Malaysia.
Peluang tersebut disempurnakan dengan baik oleh Azimuddin Shakir
Kamaruddin untuk menewaskan Matthew Edwards di gawang Australia pada
minit ke-13.
Australia yang membenam cabaran New Zealand 4-0 dalam aksi pertama pada
Sabtu mengemaskan corak permainan, namun benteng negara ampuh
bertahan.
Memasuki suku ketiga perlawanan, Haziq Muizuddin Hairul Mizan kekal tenang
di gawang negara terus cemerlang menafikan impian gol New Zealand.
Keampuhan benteng skuad ‘Young Tigers’ akhirnya dibocori New Zealand
apabila Ian Grobbelaar meledak gol penyamaan menerusi pukulan sudut
penalti pada minit ke-47.
Sementara itu, aksi cemerlang Haziq sebagai benteng terakhir pasukan
berbaloi apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Dalam pada itu, Nor Saiful yang ditemui media selepas perlawanan bangga
dengan prestasi anak buahnya yang mempamerkan kebangkitan selepas tewas
besar dalam aksi pertama pada Sabtu.
Malah katanya, keyakinan para pemain juga meningkat dan pasukan negara
turut berpeluang memenangi perlawanan tersebut menerusi beberapa
peluang terhidang termasuk percubaan yang terkena palang New Zealand.
“Mereka belajar satu perkara, bagaimana untuk bermain menentang Australia.
Kedua kami sebenarnya boleh menang hari ini (Ahad). Kami ada peluang
pukulan sudut penalti, gol terbuka dan serangan balas.

“Saya sangat berpuas hati kerana mereka bangkit daripada kekalahan 2-7
kepada Pakistan, mendahului dan hampir memenangi perlawanan. Itu satu
perkara positif buat pemain.
“Mereka berani dan percaya boleh bermain dengan pasukan seperti Australia,”
katanya.
Saingan yang akan berehat pada Isnin membuka peluang buat Nor Saiful untuk
terus mencongak taktikal ampuh sebelum turun membuat perhitungan dengan
New Zealand pada jam 6.15 petang Selasa.
Australia yang dibimbing Jay Stacy pula sudah pasti mahu mengkaji semula
corak permainan apabila akan menentang juara bertahan, Great Britain pada
jam 4.05 petang Selasa.